Allah SWT menyeru manusia supaya mengkaji, meneroka dan menyelidik rahsia alam ciptaannya secara sistematik. Ia begitu nyata sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ghaasyiyah ayat 17-20: "Tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan?. Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?"
Berdasarkan ayat itu, sememangnya menjadi tugas dan tanggung jawab manusia mengkaji rahsia alam ciptaan Allah SWT selaras dengan matlamat-Nya menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Allah SWT juga memuliakan mukmin yang suka mengkaji ciptaan-Nya dengan mengelarkan mereka sebagai Ulul Albab.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya pada kajian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allh SWT) bagi orang yang berakal." (Ali-Imran, ayat 190)
Jika diteliti isi kandungan Al-Quran, kita dapati bilangan ayat yang membicarakan mengenai sains dan teknologi melebihi 750 manakala yang berkaitan hukum tidak melebihi 150, tetapi alangkah ruginya umat Islam akhir zaman ini kerana mereka tidak lagi mengambil berat mengenai usaha menguasai sains dan teknologi. Di mana silapnya?
Ulama Islam terawal adalah tokoh terbilang dalam menguasai ilmu sains dan teknologi seperti Al-Hawarizmi yang juga pakar matematik, Al-Khinzi dan Al-Hazimi, pakar fizik Muslim, Ibnu Sina, tokoh perubatan, Al-Biruni, ahli kaji bintang dan imam Az-Zahrawi yang juga mencipta peralatan perubatan.
Malangnya umat Islam hari ini, ketinggalan dalam ilmu sains dan teknologi sebaliknya dijajah, ditindas, dihina malah dilabel sebagai pengganas dan berbagai tohmahan negatif.
Jesteru, jika kita mahu umat Islam menjadi maju, kita perlu melipat gandakan usaha untuk menambah lagi bilangan saintis di negara ini.Oleh itu Muslimin, khususunya ibu bapa diseru mengambil berat dengan memberi kefahaman dan memupuk minat anak mempelajari ilmu sains dan teknologi kerana mereka adalah aset negara pada masa depan.
Ini selaras dengan gesaan Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 20: "Katakanlah: mengembaralah kamu di muka bumi serta lihatlah bagaimana Allah SWT memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya, kemudian Allah SWT akan mula menciptakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya, Allah SWT maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
Bangsa Melayu, khususnya umat Islam, perlu mengubah cara berfikir terhadap konsep ilmu sains dan teknologi kerana ia satu daripada cabang ilmu dalam Islam dan menguasainya adalah satu kefarduan.
(petikan teks ruangan Pedoman Metro Ahad 31 Mei 2009)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)



Tiada ulasan:
Catat Ulasan